KECEMASAN PEDIATRIK

PENGENALAN

Jabatan Kecemasan Pediatrik (JKP) memulakan perkhidmatannya di Hospital Tunku Azizah (HTA) pada tahun 2019. Jabatan ini menawarkan perkhidmatan perubatan kecemasan yang khusus untuk kanak-kanak dan bayi. Jabatan Kecemasan Pediatrik beroperasi 24 jam sehari, menyediakan penjagaan rawatan kecemasan yang holistik dan berterusan.

Selain itu, Jabatan Kecemasan Pediatrik juga berperanan sebagai pusat latihan yang menawarkan latihan sub-kepakaran dalam bidang Paediatric Emergency Medicine (PEM) dan Latihan Kepakaran Perubatan bagi pelbagai kategori petugas kesihatan.

LATAR BELAKANG

Sebelum pengoperasian HTA, semua pesakit kanak-kanak yang memerlukan rawatan kecemasan dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (JKTHKL). Perkhidmatan Kecemasan Pediatrik telah dimulakan di Hospital Tunku Azizah dan beroperasi di bawah Jabatan Kecemasan Pediatrik (JKP HTA) secara berfasa pada Februari 2019. Hanya sejumlah kecil pesakit terus menerima rawatan di JKTHKL semasa tempoh peralihan sehingga JKP HTA memulakan perkhidmatan operasi sepenuhnya pada Disember 2019.

VISI, MISI & OBJEKTIF

 VISI

Menjadi peneraju utama Perkhidmatan Kecemasan Kanak-kanak yang cekap dan cemerlang serta menyediakan latihan bagi sub-kepakaran Pediatric Emergency Medicine (PEM) selaras dengan kemajuan perubatan terkini.

MISI

1) Memberikan rawatan perubatan kecemasan yang berkesan berdasarkan evidence-based medicine yang khusus bagi             memenuhi keperluan kanak-kanak dalam kes-kes kecemasan.

2) Mencipta persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak bagi memberi keselesaan kepada pesakit dan keluarga             mereka.

3) Mewujudkan kolaborasi di antara jabatan (multidisciplinary) dalam meningkatkan mutu penjagaan pesakit secara holistik.

4) Meningkatkan kesedaran ibu bapa/penjaga, keluarga, dan komuniti mengenai asas penjagaan kecemasan bagi memberi       keupayaan kepada mereka dalam mengurus situasi kecemasan berkaitan kesihatan kanak-kanak.

5) Mengekalkan standard kecemerlangan perubatan, profesionalisme, dan etika dalam semua aspek penjagaan                        kecemasan pediatrik.

OBJEKTIF DAN FUNGSI JABATAN

Jabatan Kecemasan Pediatrik berhasrat untuk memberikan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, mengekalkan standard, dan sentiasa meningkatkan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pesakit pediatrik yang dinamik dalam kes-kes kecemasan:

1) Memastikan penilaian, diagnosis dan rawatan yang cekap dan efektif bagi kes-kes kecemasan pediatrik.

2) Mencipta suasana yang selamat dan mesra kanak-kanak di dalam JKP untuk pesakit kanak-kanak dan keluarga mereka.

3) Mewujudkan kerjasama di antara Pakar Perubatan Kecemasan Pediatrik, Pakar Pediatrik, Pakar Pembedahan Pediatrik        dan Profesional Kesihatan lain untuk memberikan penjagaan yang holistik dan menyeluruh.

4) Meningkatkan kesedaran ibu bapa/penjaga mengenai isu kesihatan dan asas perawatan kecemasan bagi memberikan           keupayaan dalam mengurus kesihatan anak mereka.

5) Mengambil inisiatif penambahbaikan yang berterusan untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan, dan keberkesanan         kualiti perawatan kecemasan pediatrik.

6) Memastikan jabatan sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk mengendali kes bencana yang melibatkan populasi                pediatrik.

7) Memastikan jabatan terlibat dalam penyelidikan bagi memajukan perawatan kecemasan pediatrik.

8) Mengadakan program kesedaran bagi tujuan promosi kesihatan, pencegahan kecederaan, dan rawatan asas kecemasan       kepada kanak-kanak.

Image

JKP komited dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit pediatrik. JKP menerima pesakit yang datang sendiri (walk-in), ataupun rujukan dari fasiliti kesihatan lain, serta pesakit yang dibawa oleh Unit Rawatan Pra-Hospital (Pre Hospital Care Unit HKL/ Klang Valley Ambulance Services), dan juga agensi-agensi lain seperti JPAM, Bomba, dan St. John, dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini akan ditriaj berdasarkan Malaysian Triage Scale 2022 (MTS).

Pesakit MTS Tahap 1 dan Tahap 2 akan ditriaj ke Zon Kritikal di mana resusitasi segera dan rawatan kecemasan akan diberikan serta merta kepada pesakit. Bagi Pesakit MTS Tahap 3, mereka akan di triaj ke Zon Separa Kritikal di mana rawatan akan diberikan dalam masa 20 minit selepas ketibaan di JKP. Pesakit MTS Tahap 4 dan Tahap 5 akan ditriaj ke Zon Bukan Kritikal di mana matlamat utamanya adalah untuk menyediakan perawatan kepada pesakit bukan kritikal dalam tempoh masa 2 jam selepas ketibaan.

JKP juga menyediakan rawatan kepada pesakit yang menghidap penyakit asma. Pesakit-pesakit ini akan ditempatkan di Asthma Bay atau zon-zon lain mengikut tahap keseriusan penyakit mereka. JKP turut menawarkan rawatan untuk pesakit yang memerlukan pengasingan daripada penyakit berjangkit dan CBRNE (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosive). Pesakit- pesakit ini akan diasingkan dan ditempatkan di bilik dekontaminasi. Terdapat juga bilik tekanan negatif yang dilengkapi dengan kemudahan resusitasi bagi memberi rawatan segera kepada pesakit kritikal yang memerlukan pengasingan.

Selain itu, JKP menawarkan perkhidmatan perubatan berasaskan pemerhatian (Observation – based medicine) untuk pesakit yang memenuhi kriteria kemasukan ke Wad Pemerhatian. Pesakit akan dipantau selama 6-8 jam, dan sekiranya keadaan pesakit bertambah baik dalam tempoh tersebut, mereka akan didiscaj daripada Wad Pemerhatian.  

Tambahan pula, JKP menawarkan perkhidmatan bebas kesakitan bagi semua kanak-kanak yang menjalani prosedur dalam persekitaran yang mesra kanak-kanak. Terdapat protokol bertulis (Procedural Sedation Analgesia (PSA)) bagi memastikan semua kanak-kanak menjalani PSA dengan selamat dan efektif. JKP juga menawarkan perkhidmatan penghantaran pesakit ke luar HTA (Hospital Kuala Lumpur/Hospital Rujukan Luar) menerusi Unit Pengangkutan Ambulans.

JKP juga merupakan sebahagian daripada Pasukan Code Blue Responder HTA. JKP bertanggungjawab dalam menerima panggilan pengaktifan Code Blue dan terlibat dalam respons untuk kes-kes kritikal seperti jantung berhenti (Cardiac Arrest), sawan dan kes trauma yang teruk.

Jabatan Kecemasan Pediatrik bertekad dalam:

1) Menyediakan perkhidmatan perawatan kecemasan yang cekap, selamat, berkualiti dan mesra kanak-kanak.

2) Mengutamakan rawatan mengikut tahap kritikal kecederaan/penyakit:

i)   Kes-kes kecemasan kritikal akan menerima rawatan resusitasi dengan serta merta.

ii)  Kes-kes separa kritikal akan menerima rawatan dalam masa 20 minit.

iii) Kes-kes yang tidak kritikal akan dinilai dan diberi rawatan dalam masa 2 jam.

3) Menjaga kerahsiaan dan maruah pelanggan pada setiap masa.

4) Menyediakan fasiliti yang selamat, bersih, dan selesa bagi pemulihan yang lebih baik untuk pelanggan.

HUBUNGI KAMI

Alamat :

Hospital Tunku Azizah
Lot 25, Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 Kuala Lumpur.

No. Telefon :
03-26003000

E-mel :
ukk.hta[at]moh.gov.my

Media Sosial :

 pngwing.com 3  pngwing.com 2

PAUTAN AGENSI

Hakcipta © 2025 Hospital Tunku Azizah. Hak Cipta Terpelihara.
Penafian : Pihak Hospital Tunku Azizah tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kerosakan disebabkan oleh penggunaan maklumat dari laman web ini.
Paparan terbaik : Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas